Ikhtilat : Bukan Sekadar Kata
Jaga. Berjaga-jaga.
***
Bismilah. Kau Maha Pemurah, Kau Maha Mengasihani.
***
***
Ikhtilat, bukan sekadar kata.
Seringkali kalimah ini berlegar di telinga.
Ikhtilat oh ikhtilat, apakah dikau?
***
Ikhtilat ( الإختلاط) membawa maksud bercampur. Sudah sinonim dalam masyarakat kita, istilah ini merujuk kepada percampuran atau pergaulan antara lelaki dengan perempuan atau sebaliknya. Dalam kebanyakan kitab ulamak, istilah ini digunakan bagi menyatakan hal pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram di suatu tempat yang membolehkan mereka berhubung antara satu sama lain dengan pandangan atau isyarat atau percakapan. Dipendekkan cerita, ikhtilat merujuk kepada pergaulan bebas.
***
Bila ditanya pada setiap individu, adakah anda menyokong pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan? Pasti, rata-ratanya berkata; “Oh tidak, pergaulan bebas tidak dibenarkan dalam Islam. Kita mesti menjaga ikhtilat!“
Hmm. Sejauh manakah kita menjaga ikhtilat?
***
Refleks diri sejenak. Muhasabah.
Kita yang menentukan jalan. Kita yang memilih. Di hadapan kita ada banyak jalan. Ada yang mengikut jalan Islam, ada yang jelas bertentangan dengan Islam dan ada juga jalan yang bahaya, yakni jalan yang kabur, diwarnai dan dicorakkan dengan hiasan Islamik namun ralat pada alat dan matlamat.
***
Menjaga ikhtilat bukanlah tugas pada satu pihak sahaja. Tugas ini sebenarnya mesti digalas baik di pihak lelaki mahupun perempuan. Kata seorang sahabat, dalam menjaga ikhtilat, andai lelaki sudah menjaga, wanita pula perlu berjaga-jaga.
Kata Ustazah Fatimah Syarha dalam bukunya Cintaku Selepas Allah dan Rasul, pintu yang membuka kepada pergaulan ini perlu ditutup serapat-rapatnya, walaupun atas nama persatuan Islam. Mengamati kata-kata ini, baik dari sekecil-kecil organisasi termasuklah organisasi kelas, jiran tetangga, bahkan jawatankuasa mesyuarat tingkap; hatta sebesar-besar institusi atau persatuan sekalipun, andai tiada perkara mustahak, adalah lebih baik untuk kita menjaga dan berjaga-jaga.
***
Habis tu, tak boleh nak cakap langsung lah dengan dorang?
Hm. Camni. Islam tidak menghalang muamalah antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahram. Cumanya, Islam menghadkan muamalah tersebut, supaya tidak terjerumus ke kancah yang lebih dahsyat, yakni zina.
“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.” (al-Israa’ : 32)
Tidaklah disebut dengan terperinci di dalam al-Quran bahawa zina itu hanyalah melibatkan kemaluan semata-mata. Dalam ayat tersebut, telah dinyatakan satu larangan yang jelas bahawa janganlah kita mendekati zina. Zina boleh bermula dari apa jua cara, baik dari mata (melihat wanita / lelaki ajnabi tanpa hak), telinga dan lidah (berbicara mengenai perkara yang tidak sepatutnya), hidung (memakai bau-bauan yang berlebihan) dan sebagainya.
Andai mendekati zina sudah jelas ditegah, apatah lagi melakukannya?
***
Alternatif.
Andai sebelum ini kita sering meluahkan rasa resah dan ‘bertanyakan khabar’ kepada perempuan / lelaki yang ajnabi, apa kata kita halakan rasa sayang tersebut kepada yang lebih berhak, misalnya kepada ibu bapa atau sahabatseperjuangan (sejantina) yang sudah lama kita tak bersua.
Tidaklah salah untuk menyatakan rasa sayang kepada sahabat lama, bertanyakan kesihatan mereka, keselamatan dan macam-macam hal lagi. Bahkan, hubungan kasih sayang antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan kerana Allah adalah antara perkara yang paling dibenci oleh syaitan.
Jadi yang demikian, adakah kita masih selesa bergaul mesra, andai diri terpalit dosa?
***
Menjaga ikhtilat seumpama menjaga hati. Jagalah hati untuk yang berhak. Sekiranya mahu yang terbaik, jadilah juga yang terbaik.
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia. (An-Nur: 26)
***
Jaga. Berjaga-jaga.
___
Nota kaki: Tulisan ini adalah sebagai peringatan untuk diri ana sendiri. Mujahidah.
#copypaste from > http://taipsukeati.wordpress.com
No comments:
Post a Comment